Saturday, July 16, 2011

CONT0H PENGOLAHAN KARANGAN LANGKAH.
1.  Akhir-akhir ini, akhbar tempatan sering menyiarkan berita tentang pencemaran alam sekitar di negara kita. Bagaimanakah cara mengatasi hal ini daripada terus berlarutan?

 


PENDAHULUAN


Alam sekitar yang bersih menjadi idaman setiap manusia. Situasi yang sedemikian bukan sahaja menarik dipandang tetapi dapat menjamin kesihatan penduduk setempat. Walaupun begitu, banyak kawasan di muka bumi ini tercemar. Masalah ini menjejaskan kualiti alam sekitar dan sekali gus mendatangkan masalah kepada hidupan. Pencemaran air laut yang serius ternyata mengancam hidupan akuatik. Pencemaran udara pula mendedahkan manusia kepada risiko diserang penyakit. Sehubungan dengan itu,  langkah pencegahannya hendaklah dilaksanakan segera untuk mengatasi kemelut berkenaan.

ISI
 
Penguatkuasaan undang-undang ialah langkah yang terbaik bagi menangani pencemaran alam sekitar di negara ini. Sehubungan dengan itu, pihak kerajaan melalui Jabatan Alam Sekitar perlu membuat pemantauan ke kilang-kilang perindustrian untuk memastikan bahawa kilang-kilang tersebut tidak melepaskan asap atau sisa toksik sewenang-wenangnya. Pihak yang berkuasa hendaklah mengenakan hukuman yang sewajarnya sekiranya terdapat kilang-kilang yang tidak mematuhi peraturan. Jika perlu, lesen operasi mereka hendaklah digantung. Tujuannya adalah untuk memberikan kesedaran kepada semua pihak tentang betapa pentingnya alam sekitar yang bersih untuk memastikan kehidupan yang sejahtera.

KESIMPULAN
Akhbar tempatan sering menyiarkan berita tentang pencemaran alam sekitar di  negara kita. Tidak dinafikan bahawa banyak langkah dapat dilakukan untuk mengatasi masalah ini, namun langkah yang paling berkesan adalah dengan memberikan kesedaran kepada anggota masyarakat tentang kepentingan alam sekitar. Pada masa yang sama kita berharap setiap langkah yang ingin diambil tidak dilakukan secara bermusim. Pihak berkuasa yang bertanggungjawab janganlah melakukan tugas ini sambil lewa sahaja atau sekadar melepaskan batuk di tangga.  Dengan adanya kerjasama semua pihak, usaha yang dijalankan akan membuahkan kejayaan. Sedarilah bahawa “persekitaran kita, tanggungjawab kita.”

CONTOH PENGOLAHAN KARANGAN (PUNCA)
2. Akhir-akhir ini,akhbar tempatan sering menyiarkan berita tentang kemalangan jalan raya di negara kita. Mengapakah hal ini berlaku?
Pelbagai berita mengenai kemalangan jalan raya sering dilaporkan berlaku di negara kita. Jumlah kes kemalangan pula semakin meningkat dari setahun ke setahun. Perangkaan yang dikeluarkan oleh Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menunjukkan bahawa pada tahun 2005 sebanyak 350, 365 kes kemalangan jalan raya telah berlaku di seluruh negara, iaitu peningkatan sebanyak 10 peratus berbanding dengan tahun 2004. Perkara yang paling menyedihkan ialah negara kita mencatatkan jumlah kes kemalangan jalan raya yang paling tinggi dalam kalangan negara ASEAN. Situasi ini menunjukkan bahawa jalan raya di negara kita seolah-olah tidak lagi selamat untuk digunakan. Persoalannya, mengapakah perkara ini berlaku?
Punca utama  yang menyebabkan berlakunya kemalangan jalan
raya di negara kita ialah kecuaian pemandu. Terdapat sesetengah pemandu yang langsung tidak mematuhi peraturan jalan raya yang
ditetapkan. Tindakan mereka memotong kenderaan orang lain sesuka hati, membawa muatan yang melebihi had, tidak mematuhi lampu isyarat jalan raya, dan lain-lain bukan sahaja membahayakan diri sendiri tetapi turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya yang lain. Selain itu, ada juga yang memandu dalam keadaan mabuk, mengantuk, dan letih. Sesetengah anak muda pula menjadikan jalan raya sebagai medan perlumbaan. Keadaan yang sedemikian boleh mendatangkan risiko yang tinggi berlaku kemalangan jalan raya. Menurut laporan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), lebih 95 peratus kemalangan jalan raya berlaku di negara kita pada setiap tahun berpunca daripada kecuaian pemandu.            
  Kesimpulan
Kadar kemalangan jalan raya di negara kita sememangnya meningkat dari setahun ke setahun sehingga membimbangkan semua pihak. Walaupun terdapat berbagai-bagai faktor yang menyebabkan perkara ini berlaku, namun faktor kecuaian pemandulah yang paling ketara. Orang ramai seharusnya tidak menyerahkan tanggungjawab menangani perkara ini kepada pihak kerajaan semata-mata. Sebaliknya, orang ramai khususnya pengguna jalan raya seharusnya bijak menggunakan akal fikiran mereka ketika berada di jalan raya.  Sifat-sifat sabar dan bertimbang rasa merupakan amalan mulia yang seharusnya dimiliki oleh pengguna jalan raya demi keselamatan diri sendiri dan juga orang lain. Semoga cogan kata, “Pandu Cermat Jiwa Selamat” tersemat di hati pengguna jalan raya sampai bila-bila
 

No comments:

Post a Comment