Sudahkah Kita Merdeka?
by Mohd Fadli Yusof on Thursday, September 15, 2011 at 10:38pm
Dari sudut kemerdekaan aqidah
1. Dalam mentauhidkan Allah, sudahkah kita menjauhi syirik dan penyelewengan aqidah. Sudahkan umat ini benar-benar telah berpegang kepada aqidah Ahlussunnah wal jamaah, aqidah yang diakui oleh Rasulullah ﷺ.
Sabda Rasulullah ﷺ yang bermaksud:
“Bahawasanya Bani Israel telah berfirqah sebanyak 72 firqah dan akan berfirqah umatku sebanyak 73 firqah, semuanya akan masuk Neraka kecuali satu.” Sahabat-sahabat yang mendengar ucapan ini bertanya: “Siapakah yang satu itu Ya Rasulullah?” Nabi menjawab: ” Yang satu itu ialah orang yang berpegang sebagai peganganku dan pegangan sahabat-sahabatku (AhlusSunnah wal Jamaah).” (HR Imam Tirmizi)
Persoalan aqidah ini tidak dapat tidak, mesti berakar umbi di dalam hati seseorang. Aqidah inilah yang menjadi penggerak utama kepada seseorang muslim untuk melaksanakan perintah Allah sama ada amalan lahir ataupun batin. Inilah yang dimaksudkan dengan hidup bertunjangkan aqidah. Ertinya, kegigihan seseorang dalam menegakkan hukum Allah dalam hidup ditentukan oleh sekuat mana aqidah yang bertunjang di dalam hatinya.
Sekiranya umat Islam memilih untuk beraqidah dengan aqidah yang lain, ideologi ciptaan akal atau isme-isme maka selama-lamanya mereka tidak dapat merdeka dalam mentauhidkan Allah.
2. Dalam mengAgungkan dan membesarkan Allah SWT, sudahkah kita merasa yang selain dari Allah SWT adalah kecil dan remeh. Kehidupan ini sama ada senang atau susah adalah kecil dan remeh sehingga tidak mengganggu dan menghalang untuk taat dan bersyukur kepada Allah.
Kesusahan dan ujian bagaikan tidak ada dan tidak dirasa kerana jiwa merdeka merasai yang besar dan agung hanyalah Allah. Begitu juga kesenangan dan kemewahan tiada ertinya kerana semua itu adalah milik Allah SWT.
Merdekanya para sahabat, hingga ada di kalangan mereka yang mewakafkan harta dagangan hanya kerana ia tidak sempat untuk takbir bersama imam dalam solat Asar. Begitulah mereka merasa harta dunia ini tiada nilai apabila berhadapan dengan perintah Allah Yang Maha Besar dan Maha Agung.
Berlaku kini, apabila ada yang mengingatkan persoalan solat, kedengaran suara sumbang menyanggah. Katanya, "Soal solat itu remeh temeh. Sekarang kita perlu fikirkan bagaimana umat Islam nak maju, bagaimana nak membangun. Itu lebih besar."
Inilah contoh bahawa sebenarnya kita masih terjajah (belum merdeka) kerana gagal memahami Islam itu sendiri.
Dari sudut kemerdekaan jiwa
Kemerdekaan jiwa ini amat penting dan sering dilupakan orang. Padahal dia penentu kebahagiaan dan keharmonian hidup dalam pergaulan manusia, bahkan penentu seseorang apakah ke Syurga atau Neraka.
Sudahkah kita bebas dari kongkongan nafsu dengan mencapai nafsu tahap mutmainnah? Orang yang hidupnya dikongkong oleh nafsu sering menderita, kecewa dan putus asa, resah gelisah, gundah gulana kerana sentiasa menentang fitrahnya sendiri yang suci murni.
Merdeka daripada hawa nafsu yang jahat merosakkan manusia, bukan sahaja merosakkan diri sendiri, juga merosakkan orang lain bahkan harta benda. Merdeka daripada mazmumah yang memusnah kepada mahmudah yang indah dan membahagiakan. Bebas daripada hasad dengki, sombong, pemarah, jatuh menjatuhkan yang memusnah. Merdeka daripada dendam kesumat, bakhil, tamak, penakut, pemalas dan culas. Riyak, megah, mencari nama, ingin glamour, hingga ramai orang tersinggung dibuatnya.
Janganlah jadi seperti orang Barat yang mendakwa sebagai bebas merdeka itu sedangkan mereka membohongi fitrah dirinya. Mereka terjajah, terkurung dan terkongkong oleh nafsu serakah. Akhirnya segala tindakan didorong dan dilingkungi oleh rantaian nafsu yang semakin hari semakin kuat mengikat mereka, menjadikan mereka semakin jauh daripada Allah SWT.
Sudahkah kita ganti kerakusan nafsu itu dengan kasih sayang, merendah diri, lemah lembut yang digemari dan jadikan pemurah, rajin, berani, bekerjasama, maaf bermaafan sebagai budaya. Ikhlas, lapang dada, bertolak ansur, cintakan Allah, takutkan-Nya, dekatkan diri kepada-Nya jadi sebati. Inilah kemerdekaan yang sejati.
Firman Allah SWT:
قَدۡ أَفۡلَحَ مَن زَكَّٮٰهَا وَقَدۡ خَابَ مَن دَسَّٮٰهَا
“Sesungguhnya mendapat kemenanganlah orang-orang yang membersihkannya dan mendapat kecewalah orang yang mengotorinya.” (Asy Syams: 91: 9-10)
Dari sudut kemerdekaan mental
1. Tanyalah diri, sudahkah kita bebas dari sebarang ideologi atau isme? Ideologi bukan sahaja tidak selesaikan masalah manusia malah sering menyebabkan krisis dan banyak "side-effects". Untuk apa lagi isme atau ideologi itu kita simpan, sedangkan Islam telah sampai kepada kita dengan sempurna. Tiada gunanya kita berjuang atas dasar ideologi, kononnya nak tegakkan Islam kerana Allah tidak akan biarkan Islam tertegak di atas jalan musuh Islam.
Isme dan ideologi itu amat berbahaya kerana ia memberi kesan kepada persoalan aqidah, tidak kira apa namanya, asal berlawanan dengan Al Quran dan Sunnah, perlulah kita jauhi sungguh-sungguh. Sama sahaja komunisme, sosialisme, kapitalisme, termasuk demokrasi yang kita pinjam dari Barat itu, walau jalan masing-masing berbeza, bertetap bercanggah dengan Islam.
Ideologi yang diasak oleh penjajah ke dalam benak dan pemikiran umat Islam melalui psikologi dan pendidikan, akhirnya ia menjadi satu amalan, pegangan dan aqidah umat Islam. Malahan ia sampai mengatasi agama. Ini termasuklah dalam hal demokrasi, perundangan, konsep kebangsaan, kapitalisme, sistem riba malahan dalam semua sistem hidup yang berlandaskan ideologi.
Di waktu itu, sistem Islam ditolak ke tepi. Malahan sistem hidup cara pemerintahan dan perundangan Islam dicemuh dan dihina. Rakyat mengaku Islam tetapi pemikiran dan cara hidup mereka tidak ada bezanya dari cara hidup kafir penjajah.
2. Sudahkah kita sentiasa berfikir bagaimana hendak mengembangkan makrufat, mencari jalan bagaimana hendak melenyapkan kemungkaran.
"Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), danmenyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya." (A-li'Imraan 3:104)
3. Sudahkah kita selalu fikirkan kehidupan alam akhirat. Selamatkah kita di sana?
يَوۡمَ لَا يَنفَعُ مَالٌ۬ وَلَا بَنُونَ إِلَّا مَنۡ أَتَى ٱللَّهَ بِقَلۡبٍ۬ سَلِيمٍ۬
Hari (akhirat) yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun. Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik); (Asy-Syu'araa' 26:88-89)
Dari sudut kemerdekaan fizikal

Penjajah yang hanya menjajah secara fizikal, lebih-lebih lagi yang menjajah menggunakan kekerasan, kekuatan senjata dan kuasa tentera hanya mengundang kebencian, kemarahan dan penentangan rakyat.
Rakyat menentang dan memberontak. Walaupun rakyat ditekan dan ditindas namun penjajah pun tidak senang, tidak selamat dan tidak bahagia. Rakyat menganggap penjajah sebagai musuh yang mesti ditentang habis-habisan. Penjajah tidak diberi kerjasama. Hasilnya penjajah tidak akan dapat mempengaruhi dan mengambil hati rakyat. Akhirnya penjajah terpaksa pulang ke negara asal mereka.
Sesudah lama mereka pulang,
1. Sudahkah kita benar-benar bebas dari penjajah? Mereka mengongkong kehidupan orang yang dijajah dengan budaya hidup mereka. Sudahkah kita bersih dari budaya itu?
2. Sudahkah kita mengatur hidup mengikut syariat? Setiap apa yang hendak dibuat, syariat menjadi pengawalnya. Ikut syariat ertinya merdeka dari ikatan budaya kuffar dan thaghut.
Jika hingga kini kita belum lagi merdeka aqidah, merdeka jiwa, fikiran dan fizikal, bila lagi?
محمد فضلي بن يوسف
17 Syawal 1432H
15 September 2011
Silakan share
(Jika ingin kongsikan di blog, atau di copy paste ke nota anda, sila nyatakan nama saya dan buat pautan ke FB saya, agar saya mudah menjawab segala persoalan yang timbul dari artikel ini. Link terus ke FB saya: http://facebook.com/mfadli11 atau ke note ini, http://www.facebook.com/note.php?note_id=10150377539441719)
1. Saya sudah membuat nota Cara Membina Link dan Share Nota , harap dapat membantu untuk share nota-nota saya untuk diri sendiri dan kawan-kawan.
2. Berumrah bersama kami - Bimbingan dan tarbiyah sepanjang jalan. Rabbani Travel & Tours Sdn Bhd, hubungi saya 012-4962812, Mohd Fadli Yusof.
3. Sumbangan dialu-alukan sebagai saham akhirat untuk misi dakwah di pedalaman Sabah. Keperluan untuk perjalanan pendakwah dan kebajikan mualaf antara yang amat diperlukan. Jika anda bermurah hati untuk menderma atau zakat, bolehlah masukkan ke akaun saya,
164427309874 Mohd Fadli Yusof, Maybank.
14290000431202 Mohd Fadli Yusof, CIMB.
14014020737552 Mohd Fadli Yusof, Bank Islam.
email mfadli11@yahoo.com
Kalau sudah masukkan sumbangan, tolong nyatakan jumlahnya dan bila masa dimasukkan.
No comments:
Post a Comment