Monday, October 31, 2011

ALIH BENTUK TEKS


MENYEDIAKAN SKEMA ALIH BENTUK TEKS

“Lama betul kau tak balik kampung. Sibuk sangat ke sekarang? Kau masih berniaga di ibu kota ke di mana?” tanya Rahmat.
“Tidaklah sibuk sangat. Awal tahun ni pun aku balik tapi tak jumpa kau. Aku dengar kau melawat bapa saudara di hospital Kuala Lumpur. Betul tak?” soal Halim.
“Yalah, Lim. Masa tu aku seminggu di Kuala Lumpur. Bapa saudara aku sakit; masuk hospital,” jelas Rahmat.
“Bagaimana bapa saudara kau tu sekarang, dah sihat ke?”
“Syukur, dah sihat semula. Sakitnya, cuma demam biasa. Kami terpaksa menjengoknya kerana dia tiada keluarga di sana. Sejak isterinya meninggal, dia terus membujang hingga sekarang,” Rahmat memberikan penjelasan.
“Mengapa berbual di luar? Ajaklah Halim masuk.” Laung Tijah, ibu Rahmat.
“Tak apalah makcik, terima kasih. Di luar udara segar. Makcik, apa khabar?” tanya Halim (tersenyum).
“Khabar baik, Lim. Sampai ke seminggu kau di kampung kali ni, Lim?” Teka Tijah.
“Nampaknya begitulah, makcik. Sempatlah saya melihat sahabat saya ni menjadi raja sehari, tak lama lagi,” kata Halim.









SKEMA ALIH BENTUK TEKS

“Lama betul kau tak balik kampung. Sibuk sangat ke sekarang? Kau masih berniaga di ibu kota ke di mana?” tanya Rahmat.
Rahmat menyatakan bahawa Halim sudah lama tidak pulang ke kampung. Rahmat bertanyakan Halim sama ada betul atau tidak Rahim sangat sibuk pada ketika itu. Halim juga ingin mendapatkan kepastian sama ada Halim masih berniaga di ibu kota atau di tempat lain.

“Tidaklah sibuk sangat. Awal tahun ni pun aku balik tapi tak jumpa kau. Aku dengar kau melawat bapa saudara di hospital Kuala Lumpur. Betul tak?” soal Halim.
Halim menyatakan bahawa dia tidak terlalu sibuk. Menurut Halim, pada awal tahun itu, dia pulang ke kampung tetapi tidak berjumpa dengan Rahmat. Halim menyatakan bahawa dia mendengar berita tentang Rahmat yang melawat bapa saudaranya di hospital di Kuala Lumpur. Halim meminta pengesahan Rahmat tentang perkara itu.

“Yalah, Mat. Masa tu aku seminggu di Kuala Lumpur. Bapa saudara aku sakit; masuk hospital,” jelas Rahmat.
Rahmat mengeyakannya dan menyatakan bahawa pada masa itu dia berada di Kuala Lumpur selama satu minggu. Rahmat menyatakan bahawa bapa saudaranya sakit dan dimasukkan ke hospital.

“Bagaimana bapa saudara kau tu sekarang, dah sihat ke?”
Halim ingin tahu tentang kesihatan bapa saudara Rahmat pada ketika itu sama ada sudah sihat atau belum.



“Syukur, dah sihat semula. Sakitnya, cuma demam biasa. Kami terpaksa menjengoknya kerana dia tiada keluarga di sana. Sejak isterinya meninggal, dia terus membujang hingga sekarang,” Rahmat memberikan penjelasan.
Rahmat menyatakan kesyukurannya kerana menurutnya bapa saudaranya sudah sihat semula. Menurut Rahmat, bapa saudaranya hanya demam biasa. Rahmat menambah bahawa mereka terpaksa melawatnya kerana keluarganya tiada di sana. Menurut Rahmat lagi, sejak isteri bapa saudaranya meninggal, bapa saudaranya itu terus membujang sehinggalah saat itu.

“Mengapa berbual di luar? Ajaklah Halim masuk.” Laung Tijah, ibu Rahmat.
Ibu Rahmat, Tijah melaung dan bertanyakan sebab mereka berbual di luar rumah. Ibu Rahmat meminta Rahmat agar mengajak Halim masuk.

“Tak apalah makcik, terima kasih. Di luar udara segar. Makcik, apa khabar?” tanya Halim (tersenyum).
Sambil tersenyum, Halim menyatakan bahawa tidak mengapa (tiada masalah) dia berada di luar rumah dan Halim mengucapkan terima kasih kepada Tijah. Halim menambah bahawa udara di luar rumah, segar. Kepada Tijah, Halim bertanyakan khabar.

“Khabar baik, Lim. Sampai ke seminggu kau di kampung kali ni?” Teka Tijah.
Tijah memberitahu Halim bahawa dia dalam keadaan baik. Tijah ingin tahu sama ada sampai seminggu atau tidak Halim berada di kampung itu.
“Nampaknya begitulah, makcik. Sempatlah saya melihat sahabat saya ni menjadi raja sehari, tak lama lagi,” kata Halim.
Halim menyatakan bahawa dia akan berada di kampung itu selama satu minggu. Halim menambah bahawa dia akan berkesempatan untuk melihat sahabatnya itu menjadi raja sehari tidak lama lagi.

No comments:

Post a Comment