Sepucuk surat daripada kawan
Sinopsis
Penulis berasa gembira apabila menerima surat daripada Abe. Penulis
membaca surat itu sebanyak lima kali. Abe yang kini belajar di Kelantan
memberitahu akan berpindah dan bersekolah di tempat penulis. Penulis
menyambut kedatangan Abe di stesen bas. Petang itu penulis dan Abe
berjalan-jalan di sekitar Jalan Cenderawasih. Pada hari Sabtu, penulis
dan Abe bersiar-siar di Berjaya Megamall, Kuantan selama lima jam.
Abe ditempatkan di kelas bersebelahan dengan penulis. Abe cemerlang
dalam pelajaran Matematik. Pada satu hari, Abe mengadu sakit, lalu
penulis membawanya pulang ke rumah. Ketika keputusan PMR mahu diumumkan,
ibu bapa Abe membawanya pulang ke Kelantan. Abe meninggalkan penulis
dengan sepucuk surat. Dalam surat itu Abe memberitahu keinginan untuk
menjadi seorang pelakon dan Abe menulis tentang kesihatannya.
Belum sempat penulis habis membaca surat itu dan mengetahui penyakit
yang dihidapi oleh Abe, adik penulis merampas surat tersebut. Penulis
mengejar adiknya, tetapi adiknya mencampak cebisan surat itu ke dalam
unggun api. Penulis terus tertanya-tanya tentang penyakit misteri Abe.
Nilai murni
Nilai murni daripada cerpen ialah baik hati, contohnya penulis melayan
Abe dengan baik ketika Abe tinggal bersama-samanya. Selain itu
berdikari, contohnya Abe tinggal bersama penulis, sedangkan keluarganya
berada di Kelantan. Akhir sekali memanfaatkan waktu, contohnya sejak
kedatangan Abe, penulis lebih banyak mengulang kaji pelajaran dan ke
perpustakaan, tidak lagi bersama Zul dan Fadli.
Pengajaran
Pengajaran daripada cerpen ialah kita perlu menghargai kunjungan rakan
lama, contohnya penulis berbesar hati dan melayan dengan baik kedatangan
Abe dari Kelantan. Selain itu kita hendaklah bersikap terus terang,
contoh yang ditunjukkan oleh Abe yang merahsiakan penyakitnya membuatkan
penulis tertanya-tanya janganlah diikuti. Akhir sekali kita wajar
membantu orang yang dalam kesusahan, contohnya penulis membawa Abe
pulang ke rumah apabila Abe mengadu sakit.
No comments:
Post a Comment