Thursday, August 28, 2014

CUIT-CUIT USTAZ KAY

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

CUIT-CUIT UST KAY (CCUK) Khamis, 2 Zulkaedah 1435H. AKU CINTA PADAMU...

حُبُّ اْلوَطَنِ مِنَ اْلإِيْمَانِ

“Cinta tanah air adalah sebahagian daripada iman” Hadis ini adalah hadis maudhu’ atau hadis palsu sebagaimana dinyatakan oleh Syeikh al-Albani dalam kitabnya, Salsilah Hadis Dhaif dan Maudhu jilid-1, cetakan Gema Insani Press. Imam Jalaluddin As-Suyuti juga menjelaskan bahawa hadis ini tidak diketahui asalnya (Ad-Durar al-Muntasirah Fi al-Ahaadis al-Musytahirah).

PENCERAHAN :
Syaikh al-Albani berkata: “Maknanya tidak benar. Sebab cinta negera sama halnya dengan cinta jiwa dan harta. Seseorang tidak terpuji dengan sebab mencintainya lantaran itu sudah tabiat manusia. Bukankah anda melihat bahawa seluruh manusia juga ada kecintaan seperti ini, baik dia kafir mahupun mukmin!"
Sebagaimana firman Allah SWT:

وَلَوْ أَنَّا كَتَبْنَا عَلَيْهِمْ أَنِ اقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ أَوِاخْرُجُوا مِن دِيَارِكُم مَّافَعَلُوهُ إِلاَّ قَلِيلُُ مِّنْهُمْ

"Dan sesungguhnya kalau Kami perintahkan kepada mereka, bunuhlah dirimu atau keluarlah kamu dari kampungmu, nescaya mereka tidak akan melakukannya, kecuali sebahagian kecil dari mereka." (QS. An-Nisa’: 66)

Ayat ini menunjukkan bahawa orang kafir juga mencintai tanah air mereka. Musuh-musuh Islam telah menjadikan hadis palsu ini untuk menghilangkan syi’ar agama dalam masyarakat dan menggantinya dengan syi’ar kebangsaan. Padahal akidah seorang mukmin lebih berharga baginya dari segala apapun.
Berlebih-lebihan terhadap tanah air sehingga sampai kepada tahap 'memberhalakannya' adalah dilarang.

Namun, sekiranya ada yang bertanya kepada Ust. Kay adakah mencintai negara dilarang dalam Islam? Jawapannya adalah tidak. Kerana tidak ada larangan atas seorang untuk mencintai bangsanya dan tanah airnya malah tidak terlarang, dia cinta kepada kucing, arnab, sugar glider, ikan Flower Horn, kerbau dan tenuk sekalipun.

Cuma, janganlah berlebih-lebihan sehingga agama diseret untuk dijadikan alasan untuk merasionalkan dalam mencintainya. Jangan sampai menyatakan ; "Cinta tanah air sebahagian daripada iman" sedangkan tiada sandarannya apatah lagi berbohong atas nama Rasulullah SAW. Kalau orang cinta tanah air membawakan hadis palsu seperti itu, maka orang yang sangat mencintai kucing pula boleh membawakan hadis palsu lain:

حُبُّ الْهِرَّةِ مِنَ الإِيْمَانِ

"Cinta kucing itu sebahagian daripada iman."

Islam mengajarkan pada kita bahawa setiap bumi yang dikuasai umat Islam dan diterapkan syari’at Islam adalah Negara Islam. Dimanapun dan pada bila-bila masa pun. Tidak dibatasi dengan warna kulit dan bangsa sebenarnya. Atau tidak juga dibatasi oleh sempadan tanah (border) yang ditentukan oleh manusia. Oleh itu, jika syari’at Islam diterapkan di negara tersebut kemudian diserang oleh musuh-musuh Islam, wajib bagi umat Islam seluruh dunia untuk membela dan mempertahankan nya.

TAK SABAR MENUNGGU BUKU 'CUIT-CUIT UST KAY' (CCUK) EDISI PERTAMA TERBITAN KARANGKRAF... PASTIKAN ANDA TIDAK TERLEPAS UNTUK MEMILIKINYA !

KESIMPULAN :
Musuh-musuh Islam melalui aktiviti penjajahan kepada negara-negara Islam telah berjaya melakukan 'pecah dan perintah'. Sehinggakan negara Islam telah terpisah-pisah dan mereka tidak merasakan satu kesatuan umat di dunia Islam.

Sempena BULAN KEMERDEKAAN ini bermula hari ini, Ust Kay akan menyentuh perkara-perkara yang berkaitan semangat patriotik kepada negara. Esok kita bincang perlunya cinta pada negara berdasarkan sirah Nabi Muhammad SAW pula, insya Allah ! Wallahu a'lam - Cintailah negara kerana Allah, jangan cintakan negara melebihi cinta kita kepada Allah. Ukay's

No comments:

Post a Comment